KUALA LUMPUR: Syarikat pertahanan Turkish Aerospace Industries (TAI)  memilih Malaysia untuk dijadikan sebagai hub industri aeroangkasa bagi pasaran ASEAN.

Selain mewujudkan peluang pekerjaan baharu, Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace, Prof Temel Kotil menyatakan keyakinan terhadap kepakaran kejuruteraan tempatan.

"Kami yakin Malaysia adalah lokasi terbaik dan mempunyai potensi yang tinggi untuk dibangunkan sebagai hub industri aeroangkasa dalam tempoh setahun dari sekarang.

"Kita harap akan dapat peluang untuk membuka hub pesawat tempur ringan (LCA) Hurjet untuk keperluan bekalan ASEAN. Di Turki kami habiskan banyak masa dan wang dalam tempoh 20 tahun untuk membangunkan spektrum penuh produk TAI, sekarang kami ada sekitar 1,000 orang jurutera untuk helikopter sahaja.

“Jadi kami mahu bawa pengalaman dan kongsikan dengan Malaysia. Seperti kata Presiden kami, jika kita menanam buah epal 20 tahun lalu sekarang pokoknya sudah berbuah jadi kami ingin Malaysia turut menikmati buah ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2022 dan Pameran Perkhidmatan Keselamatan Asia (NATSEC) 2022 di sini, pada Selasa.

Justeru, kata Temel, TAI membuka pejabat baharunya, pusat reka bentuk dan kejuruteraan pertamanya di Asia Tenggara di kampus Cyberview Futurise empat bulan lalu dan telah melantik sekitar 50 orang jurutera tempatan untuk membangunkan sistem perisian dan avionik versi global di sini.

Beliau berkata, syarikat itu akan terus melabur dan menjalinkan kerjasama di Malaysia bagi membangunkan teknologi generasi baharu termasuk dalam bidang industri pertahanan dan penerbangan.

Menurutnya, TAI juga berkolaborasi bersama dengan DRB-Hicom Defence Technologies Sdn Bhd (Deftec) dan beberapa agensi berkaitan dan institusi tempatan untuk membangunkan sistem avionik tersebut serta beberapa produk  lain seperti dron tanpa pemandu (UAV).